Sabtu, 26 Februari 2011

Refleksi Perkahwinan dan kekeluargaan

Keluarga adalah sebuah institusi sosial asas yang memainkan peranan penting di
dalam membentuk sahsiah dan perilaku seseorang individu. Perkembangan pemikiran,
emosi dan juga tingkahlaku seseorang bermula di dalam suasana kekeluargaan sejak
peringkat bayi lagi. Pembentukan moral anak-anak diperolehi melalui peniruan dan boleh
juga dipelajari secara formal atau tidak formal.

Setiap keluarga bermula daripada perkahwinan yang sah diantara lelaki dan perempuan.Setiap keluarga juga mempunyai nilai dan maruah yang dipertahankan melalui peranan yang diharapkan daripada ahli-ahli keluarga. Keharmonian berkeluarga dicapai melalui hubungan baik antara semua ahli keluarga. Hubungan ini merangkumi perhubungan spiritual (agama), emosi seperti kasih sayang, sifat hormat-menghormati,bertanggungjawab, berpendidikan serta sifat-sifat kebendaan (pakaian, makanan, rumah dan sebagainya). Oleh itu, institusi keluarga adalah institusi yang terpenting dalam proses pembentukan individu yang sihat rohani dan jasmaninya, lagi berilmu dan bermoral.

Pada masa yang sama, poligami juga boleh mendatangakan keruntuhan dan kebaikan dalam kekeluargaan. Kita lihat di media massa, poligami adalah satu hal yang sentiasa mendatangkan masalah. Setiap masa kita dipaparkan melalui akhbar ataupun televisyen yang ramai pasangan berpoligami menghadapi masalah rumahtangga terutamanya dari segi perbalahan antara madu. Bukan poligami yang bermasalah, orang yang berpoligami yang bermasalah. Allah SWT tidak menghalalkan sesuatu yang memudharatkan manusia. Yang disebabkan masalah yang dibuat oleh segelintir orang yang mempraktikkan poligami, maka kita secara borong mengatakan bahawa poligami membawa masalah. Setiap hari kita mendengar orang mati disebabkan oleh kemalangan ketika menaiki kereta, saya tidak pernah mendengar orang menuduh kemalangan itu disebabkan oleh kereta yang dinaiki. Saban hari masalah yang kita baca di dada akhbar tentang poligami adalah datangnya dari orang yang mengamalkan poligami dan bukannya poligami itu sendiri. ramai orang yang mengamalkan poligami berada dalam keada bahagia tetapi tidak diwar-warkan oleh media massa.

Bagi saya, tanggungjawab setelah berpoligami adalah sangat besar. Jika kita sudah merasa sukar untuk menguruskan satu keluarga, bayangkan kesukarannya dikali 2 apabila berkahwin seorang lain. Di sini saya akan senaraikan beberapa sahaja tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seorang lelaki apabila berpoligami supaya kita berfikir panjang untuk perpoligami.

Nafkah perlu diberikan kepada 2 keluarga dan bukannya satu jika berkahwin dua. Sesiapa yang berpendapatan rendah wajib berfikir 10 kali sebelum menggatal untuk berpoligami. Saya pernah berjumpa dengan seorang yang telah berpoligami tetapi memiliki masalah kewangan yang sangat rumit. Tambah merumitkan keadaan apabila kedua-dua isterinya bergantung harap kepada pendapat suami mereka sahaja. Dia terpaksa berhutang sana sini, kereta ditarik, dan terpaksa lompat dari satu pekerjaan ke pekerjaan yang lain. Sebaliknya saya juga ada berjumpa seorang lelaki yang sangat kaya raya tetapi terhalang untuk berpoligami kerana tentangan keluarga.

Pastikan anda seorang yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh sebelum walaupun hanya untuk berangan-angan untuk berpoligami. Walaupun saya akan bercakap tentang kahwin misyar (tempat tinggal dan nafkah diuruskan oleh isteri) sebagai sebagai penyelesaian tentang hal ini, kahwin misyar tidak sepatutnya dijadikan jalan penyelesaian terakhir untuk berpoligami. Ia hanya akan merendahkan martabat seorang suami. Ia sepatutnya hanya digunakan apabila keperluan mendesak dan bukannya sebagai satu jalan pintas untuk berpoligami.

Tanggungjawab keluarga dari segi pendidikan, keselamatan dan kasih sayang perlu diberikan secara penuh dan adil. Tanggungjawab ini bukan sahaja untuk isteri-isteri tetapi juga kepada anak-anak hasil dari perkahwinan dengan isteri-isteri tersebut. Biasanya bila berpoligami, jumlah anak yang diperolehi juga berganda. Bayangkan saudara menjadi suami dan ayah yang menguruskan dua keluarga besar. Giliran bermalam juga perlu adil. dan ini adalah hal yang agak menyukarkan. Bayangkan kita setiap masa perlu memikirkan untuk tidur di rumah yang mana. Ini berlangsung selagi perkahwinan itu wujud, walaupun dibenarkan kita untuk singgah di rumah setiap isteri pada setiap hari, tempat tidur mestilah dilakukan dengan giliran yang adil. jika setiap rumah berdekatan tidak mengapa. Tapi jika kedua rumah adalah berjauhan, bagaimana? mula-mula memang merasa nikmat berpoligami kerana dapat berkahwin dengan orang yang kita minat, tetapi lama-kelamaan dengan tanggungjawab yang berganda, adakah nikmat itu berkekalan? maksud saya di sini ialah berpoligami untuk mengejar wanita cantik tidak akan berkesudahan dan akan mendatangkan masalah kepada kita di kemudian hari.

Apabila kita membawa satu keluarga berjalan-jalan di hujung minggu, kita juga perlu memikirkan untuk membawa satu keluarga yang lain pergi berjalan-jalan. Jika kita membelikan pakaian hari raya untuk satu keluarga, kita juga perlu memikirkan untuk membelikan pakaian raya kepada satu kelauraga lagi. Jika kita balik kampung bersama satu keluarga, kita perlu memikirkan untuk balik kampung dengan keluarga yang satu lagi. Kesimpulannya ialah semua perkara yang kita lakukan perlulah difikirkan untuk memastikan kedua-dua buah keluarga mendapat layanan yang sama adil.

Ramai yang berfikir yg paling ideal ialah seorang suami berkahwin dgn seorang isteri tetapi perlu diingat kita tidak berada di dunia yg ideal. Kita berada di dunia praktikal/sebenar. Dan dunia sebenar tidak berlaku seperti keluarga adam dan hawa yg mana mereka melahirkan anak kembar 2 lelaki dan perempuan dan di nikahkah secara bersilang. Dunia sekarang tidak seideal itu. Kaedah usul fiqh 'hukum berdasarkan suasana' mesti digunakan dalam hal ini.

Dalam konteks kekeluargaan ini sudah cukup untuk menggambarkan kepada kita betapa bernas idea yang beliau utarakan. Institusi kekeluargaan yang mempunyai capaian yang luas dan banyak bersangkut kait dengan sektor-sektor lain dalam kehidupan ini perlu diberi ruang yang selayaknya. Dengan kata lain kegagalan dalam sistem pengurusan rumah tangga seperti tidak mengikut garis panduan Al Quran turut akan menyumbang kepada kerosakan sistem – sistem lain seperti kemasyarakatan dan negara. malahan turut mencorak landskap dunia secara keseluruhannya. Kerana ia adalah marhalah kedua penting selepas pembentukan syakhsiyyah muslim sebelum masuk ke marhalah-marhalah seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan