Kepentingan Keluarga Harmoni


Kita sedia maklum bahawa institusi keluarga adalah merupakan asas sebuah masyarakat bagi melahirkan generasi yang bertaqwa dan beramal soleh. Hakikat yang tidak boleh dinafikan juga bahawa kejayaan dan keharmonian dalam sebuah keluarga adalah bermula dari ketua keluarga. Justeru itu Islam meletakkan kepimpinan atau ketua keluarga itu ialah kepada seorang bapa yang bertanggung jawab dalam memastikan keluraganya dalam keadaan aman dan sentiasa diberkati Allah. Peranan sebagai seorang ketua keluarga itu adalah merujuk kepada sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi:

Maksudnya:
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap pimpinannya, seorang pemimpin Negara adalah pemimpin kepada rakyatnya dan ia bertanggungjawab terhadap mereka, seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin dan ia bertanggungjawab terhadap rumahtangga suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya”.

Sebagai seorang ketua keluarga hendaklah menunjukkan dan mempamerkan contoh dan tauladan terbaik untuk di ikuti dan dicontohi oleh anak dan isterinya. Keluarga yang menginginkan kebahagiaan juga hendaklah menjiwai dan mengamalkan sifat yang baik dan mulia. Hakikatnya masyarakat kita pada hari ini kurang menjaga dan menjiwai akhlak sebagaimana yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w. menyebabkan kita dilanda dengan gejala social yang kian meruncing. Anak-anak tiada contoh dan teladan yang boleh dijadikan rujukan akibat dari ketandusan akhlak dan kerosakan sifat ketua keluarga sendiri. Ibu bapa kurang penekanan berkaitan adab dan budi bahasa kerana bahasa pertuturan yang digunakan dirumah amat mengecewakan dan mengaibkan.

Bahasa-bahasa yang kasar, kesat, kurang beradab, lucah dan seumpamanya sering dituturkan oleh ketua keluarga menyebabkan anak-anak terlalu mudah untuk menuturkan perkataan tersebut di luar rumah dan dalam kehidupan seharian mereka. Oleh yang demikian sebagai ketua keluarga perlu sedar tentang peranan dan tanggungjawab besar yang perlu ditanggung oleh seorang ketua keluarga dalam melahirkan sebuah keluarga yang bahagia. Ketua keluarga perlu menunjukkan Qudwah Hasanah (teladan yang baik) kepada ahli keluarganya seperti yang telah disarankan oleh Nabi s.a.w.:

Maksudnya:
“Muliakanlah anak-anak mu dan tunjukkanlah kepada mereka adab adab yang baik”.

Bagi merealisasikan hasrat untuk melahirkan generasi yang bertaqwa dan beramal soleh dalam sebuah institusi keluarga maka bapa selaku pemimpin keluarga hendaklah mengambil perhatian berat terhadap perkara berikut : 1) Sentiasa mengutamakan dan peka tentang pendidikan agama kepada diri dan keluarganya. Kepekaan tersebut bagi memastikan seluruh ahli keluarganya mendapat pendidikan dan kefahaman yang sempurna berkaitan Islam . Islam amat menekankan soal tujuan dan matlamt kehidupan didunia ini dan sentiasa memperhitungkan soal kehidupan di alam Akhirat. Ini adalah bertepatan dengan perintah Allah sepeti mana yang telah dijelaskan dalam Surah At-Tahrim ayat 6:

Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya adalah malaikat yang kasar dan keras dan mereka tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”.

Berdasarkan ayat dan hadis tersebut, maka jelaslah bahawa peranan ketua keluarga dalam menyelamatkan diri dan ahli keluarganya dari azab api neraka adalah merupakan satu kewajipan. Tersebut tidak dapat dilaksanakan melainkan mereka yang benar-benar menjiwai dan menghayati soal keimanan kepada Allah.

Ibu bapa harus sentiasa memperhitungkan setiap rezeki yang diperolehi untuk menyara diri dan anak-anak. Jauhilah dari sumber yang syubhat dan apatah lagi dari sumber yang haram. Ketua keluarga wajib menjauhkan diri dari pendapatan yang mengandungi unsur penipuan, rasuah ,riba dan seumpamanya. Sudah pasti bahawa rezeki yang halal akan menjamin ahli keluarganya untuk menjadi anak yang soleh sihat dan pintar dan sebaliknya jika pendapatan yang diperolehi dari sumber yang syubhat dan haram maka generasi yang lahir akan menjadi manusia yang rendah akhlak dan lemah fikiran. Mereka sukar menerima teguran dan jauh dari rahmat dan keberkatan dari Allah. Inilah juga bencana yang menimpa masyarakat kita pada hari ini yang menyebabkan gejala sosial semakin berleluasa dan tiada berkesudahan. Semoga Allah melindungi kita dari musibah ini.
Sabda Rasulullah SAW :

“Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya”.

Dalam mengejar kehidupan dunia yang sementara ini sudah pasti ibu bapa kan dilanda masalah kesibukan usaha mencari rezeki untuk menampung kehidupan . Namun begitu sebagai ketua keluarga hendaklah memperuntukkan sebahagian masa untuk keluarga dan anak-anaknya. Jangan menyerahkan tugas mendidik anak-anak dan keluarga kepada orang lain. Jadikankanlah aktiviti seperti solat berjemaah, makan bersama sebagai rutin waib bersama keluarga. Demikian juga aktiviti luaran seperti berkelah, riadah, melancong, bergotong-royong, mengemas rumah dan seumpamanya. Ibu bapa perlu memastikan bahawa suasana dalam rumah adalah ceria dan menganggap rumahku adalah syurgaku. Apabila aktiviti seperti itu di wujudkan di dalam keluarga maka akan wujudlah suasana yang harmoni dan bertambah kasih sayang.

Selain dari tiga perkara yang telah disebutkan sebenarnya banyak lagi perkara yang seharusnya diberi perhatian oleh ketua keluarga dalam memastikan kebahgiaan keluarga terus berkekalan . Sebagai bapa yang prihatin perlu sentiasa meluangkan masa untuk anak remajanya. Berkongsilah pengalaman dan membina kasih sayang dengan memahami dan membimbing kemahuan mereka. Bantulah mereka dalam mencari keyakinan diri dan sentiasa menggalak serta mengasah potensi diri mereka. Yakinkanlah mereka bahawa bapa sebagai insan tempat dijadikan rujukan terbaik. Sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti persekolahan mereka di samping sentiasa cuba tahu dan mengenali rakan mereka. Sesungguhnya dewasa ini peranan seorang ketua keluarga amat mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi serta pengetahuan yang mendalam.

Amat menyedihkan sekali apabila mutakhir ini ramai ketua keluarga gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik, isteri dan anak ditinggalkan tanpa sebarang nafkah, anak-anak menjadi mangsa perceraian kedua ibu bapa, pendidikan anak terabai tanpa pengawasan, ibu-bapa lebih mementingkan kerjaya dari memikirkan soal keluarga. Sebahagian mereka lebih mementingkan hawa nafsu dengan menjalinkan hubungan dengan orang ketiga yang menyebabkan urusan rumah tangga porak-peranda.

Apakah suasana keluarga seperti ini dapat kita harapkan untuk menjamin sebuah masyarakat yang harmoni?. Adalah mustahil akan lahir sebuah masyarakat yang bermoral apabila institusi keluarga tidak dipastikan keharmoniannya. Oleh itu, marilah kita kembali menghayati tugas dan peranan kita sebagai ketua keluarga demi menjamin keharmonian dan kebahagiaan rumahtangga.
Maksudnya:

“Dan orang-orang yang berkata: Wahai Tuhan Kami anugerahkanlah kami isteri dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa”.
(Surah Al-Furqan, ayat 74)

0 comments: