Ganjaran Jihad Dalam Islam

1. Sejak awal-awal lagi para petugas yang bekerja untuk Islam mestilah memahami secara mendalam bahawa merekalah yang sebenarnya memerlukan Islam. Sewaktu mereka bekerja, berjihad dan berjuang, bererti mereka bertindak membersihkan diri dan jiwa mereka sendiri di samping menunaikan sebahagian dari hak-hak Allah ke atas mereka supaya mereka memperolehi ganjaran dari sisi Allah di hari kiamat kelak, hari di mana pandangan menjadi tunduk merendah dan hati menjadi bergetar kerana dilanda ketakutan ditimpa azab.

Mereka inilah yang beruntung sekiranya mereka mara beramal dan merekyang rugi sekiranya mereka berundur dan berpaling tadah.

Allah s.w.t berfirman:

وَمَنْ جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

Yang bermaksud:
Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.
(Surah Al-Ankabuut, Ayat: 6).

Allah s.w.t juga berfirman:

وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ

Yang bermaksud:
Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.
(Surah Muhammad, Ayat: 38).

2. Mereka juga mesti memahami bahawa nilai dan harga diri mereka sebenarnya adalah kerana pegangan mereka kepada Islam. Mereka tidak mempunyai apa-apa nilai sekiranya tidak bersama Islam (sama seperti binatang bahkan lebih sesat dari itu). Kemuliaan dan ketinggian mereka yang sebenarnya tidak akan tercapai melainkan dengan mereka menggembleng tenaga dan melibatkan diri di dalam jemaah Islam yang memperjuangkan Islam dan terus kekal dalam jemaah yang berkenaan. Sesiapa yang mengasingkan diri dia akan keseorangan di dalam azan neraka. Sesiapa yang menyatukan dirinya secara benar dengan kumpulan tersebut bererti dia telah bergabung dengan nasab keturunan yang mulia mengikat diri dengan golongan yang mendapat petunjuk, yang terdiri daripada para Nabi dan para syuhada yang mendapat nikmat di sisi Allah s.w.t.

3. Para petugas amal Islami juga mesti menyedari bahawa terus kekal bersama dengan jemaah adalah syarat bagi mendapat pendirian yang teguh sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesungguhnya serigala itu hanya akan dapat memakan kambing yang tersisih (dari kumpulannya)".
Masyarakat yang dipenuhi dengan fitnah tidak ubah seperti malam yang gelap-gelita. Manusia tidak mungkin dapat menjalani kehidupan dengan sempurna atau tidak terjejas dengan kesan-kesan kotoran masyarakat tersebut sekiranya tidak menerima peringatan, nasihat dan ingat memperingati.

وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ

Yang bermaksud:
Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.
(Surah Az-Zaariyaat, Ayat: 55).

Allah s.w.t berfirman lagi:
وَالْعَصْرِ. إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ. إِلَّا الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ.

Yang bermaksud:
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
(Surah Al-Asr, Ayat: 1 - 3).

Oleh yang demikian mereka mestilah hidup di bawah satu naungan keluarga yang beriman. Mereka mestilah bersama-sama dengan pasukan Tuhan yang Maha Pengasih dan terus hidup bersama mereka buat selama-lamanya.
Allah s.w.t berfirman:

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا

Yang bermaksud:
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
(Surah Al-Kahfi, Ayat: 28).


4. Para petugas amal Islami juga mestilah benar-benar memahami bahawa mereka beramal dengan bekerja semata-mata kerana Allah dan berjihad pada jalannya. Mereka juga mesti memahami bahawa jalan ini adalah jalan yang paling jauh, penuh dengan kesukaran. Sesungguhnya syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak diingini manakala mereka pula dilingkungi oleh perkara-perkara yang menarik syahwat.

Jalan ini merupakan satu jalan yang tidak sanggup dilalui oleh mereka yang hidup dalam suasana mewah, mereka yang bimbang akan kesempitan rezeki dan kemewahan hidup. Jalan ini juga tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang mementingkan kerehatan dan mengikut runtunan nafsu, tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang sempit dada dan tidak memiliki kekuatan, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang tidak sabar menghadapi cemuhan dan cacian, apatah lagi pengorbanan wang ringgit dan harta benda, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang berpegang dan berkeras dengan pendapat sendiri sahaja sedangkan dia sendiri tidak mengetahui bahawa ia tidak mengerti (kedudukan yang sebenarnya) dan jalan ini juga tidak sanggup dilalui oleh mereka yang tidak bersedia untuk tunduk kepada keputusan jemaah dan tidak sanggup pula beriltizam dengan pandangan-pandangan jemaah.

Sesungguhnya jalan ini adalah jalan pembersihan jiwa, penyucian hati dan pengawalan diri, jalan kerahmatan dan kemuliaan. Jalan kesabaran dan ketetapan, jalan kebebasan dan kehormatan dan jalan kebenaran dan keikhlasan. Sesungguhnya jalan yang mempunyai sifat-sifat seperti ini tidak akan sanggup dilalui melainkan oleh orang-orang mukmin yang hati-hati mereka mempunyai ikatan yang kukuh dengan Allah yang Maha Esa, yang menggantungkan harapan dan pertolongan kepadanya.
Allah s.w.t berfirman:

وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Yang bermaksud:
Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(Surah At-Talaaq, Ayat: 126).

Allah s.w.t berfirman lagi:

فَمَنْ نَكَثَ فَإِنَّمَا يَنْكُثُ عَلَى نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Yang bermaksud:
Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.
(Surah Al-Fath, Ayat: 10).

0 comments: