GAMIS&SIGMA - Siasat video Sembang Rakyat tentang hudud

Kuala Lumpur, 10 Dis: Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) mendesak agar siasatan segera dijalankan terhadap penyebaran video Sembang Rakyat di laman sosial facebook dan youtube

Video tersebut yang berjudul 'Musim Hudud Pas' dan 'Lagi Hudud' dikhuatiri akan mencetuskan salah faham serta penghinaan terhadap hukum Islam yang juga menjatuhkan kesucian agama Islam.

Sehubungan dengan itu, GAMIS telah membuat laporan polis di Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung isu ini. GAMIS memohon pihak berkuasa terutama polis dan Kementerian Penerangan dan Komunikasi, menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan sewajarnya. 

GAMIS juga mendesak agar semua krew penerbitan video ini termasuk pengarah dan pelakon yang terlibat memohon maaf secara terbuka terutama kepada seluruh umat Islam kerana penyiaran dan penyebaran video ini menyentuh sensitiviti umat islam. 

Presiden GAMIS, Saudara Akram Ikrami Taib Azamudden berkata, "Apa yang menjadi perhatian GAMIS berhubung isu ini adalah pertikaian soal perlaksanaan hukum hudud. Bagi peringkat mahasiswa, kami tidak peduli soal pertembungan parti politik dalam video ini, tetapi yang kami rasa tercabar ialah penghinaan terhadap hukum Islam tersebut. Lakonan mereka jelas menunjukkan penyelewengan tentang kefahaman hukum hudud dan yang lebih merisaukan ialah ia akan menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.”

“GAMIS mendesak agar pihak polis menyiasat penerbit, pelakon dan penyebar video ini, dan pihak kami juga mendesak Kementerian Penerangan dan Komunikasi mengambil tindakan serius berhubung isu ini. Selain itu, GAMIS memohon agar pihak JAKIM selaku pihak yang berautoriti memberi penjelasan sebenar berkaitan hukum hudud.”

Manakala Pengerusi Serikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA), Saudari Rohayu Rusli berkata, "GAMIS dan SIGMA menggesa NGO-NGO Islam yang serius memperjuangkan isu aqidah untuk turut sama menyatakan pendirian berhubung isu ini.

GAMIS juga menyatakan kesediaan untuk menjadi koordinator bagi menerangkan isu ini, serta merancang tindakan susulan untuk membawa isu ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Media.

Sumber  :www.mygamis.net

0 comments: