PERALATAN DAN PANDUAN MENJAHIT - Alat menanda

Kapur penjahit
                
- Kapur digunakan untuk memindahkan tanda-tanda, cabang-cabang dan lain-lain garisan pola daripada kertas kepada fabrik jahitan.Tanda-tanda ini boleh dipadam dengan mudah jika tidak diperlukan lagi.
- Kapur tukang jahit boleh didapati di dalam warna-warni putih, hitam, merah, biru, dan kuning. Ia berukuran 6 cm serta berbentuk 3 atau 4 persegi.
- Seseorang tukang jahit itu haruslah mempunyai sekurang-kurangnya 3 keping kapur warna-warni yang mustahak iaitu merah, biru dan kuning.


Lilin Tukang Jahit
- Lilin tukang jahit berukuran 6 cm dan berbentuk 4 persegi.
- Ia boleh menggantikan kapur untuk menanda garisan pola pada fabrik daripada gentian bulu bir-biri kerana tanda lilin ini tidak mudah hilang sepertimana tanda kapur.Tetapi ingatlah, jangan terlalu tekankan sangat lilin itu kerana tandanya akan susah hilang.
- Lilin juga boleh digunakan untuk mengukuhkan benang jika dilurut pada benang yang reput.Benang yang telah dilurutkan dengan lilin itu, hendaklah digosok dengan seterika supaya lilin melekat dengan kukuhnya pada benang itu. Lilin juga mengelakkan benang jahit daripada kusut.
- Apabila menjahit lubang butang, lilin hendaklah dilurut pada benang dan adalah suatu perkara yang perlu diingatkan.

Kertas Karbon (Carbon Paper)
- Kertas karbon boleh didapati dijual didalam sampul yang mengandungi warna- warna putih, kuning, merah, biru dan hijau.
- Tanda-tanda di fabrik yang menggunakan kertas karbon akan hilang apabila dibasuh atau dicuci.
- Gunakan warna kertas karbon yang dekat sekali dengan warna fabrik yang dijahit.
- Apabila menjahit fabrik yang nipis dan jarang, jangan tekankan sangat roda surih kerana ia akan meninggalkan kesan yang tidak elok pada fabrik.

Pensel Penanda
- Pensil penanda boleh digunakan sebagai ganti kapur tukang jahit atau kertas karbon.
- Pensil penanda boleh didapati di dalam warna-warna putih, merah jambu (samar) dan biru muda.

Roda Surih

- Roda surih boleh didapati di dalam tiga bentuk.
- Roda surih yang matanya seperti duri digunakan untuk fabrik-fabrik yang tebal. Yang bergerigi untuk fabrik-fabrik yang nipis dan sederhana tebal, manakala yang licin boleh digunakan untuk semua jenis fabrik.
- Roda surih digunakan bersama-sama kertas karbon untuk menanda garisan-garisan pola pada selapisan fabrik atau lebih.
- Roda surih hendaklah diperbuat daripada keluli.


Rajah : Roda surih

Jenis Jarum dan Benang

Jarum

- Jarum boleh didapati di dalam pelbagai ukuran panjang, kasar dan bentuk matanya.
- Untuk jarum tangan, lebih besar jarum, lebihlah rendah nombornya daripada jarum yang halus. Jarum yang kasar (nombor 4,5,6) digunakan untuk menjahit fabrik-fabrik yang tebal dan juga bila menggunakan benang yang kasar.
Rajah : Jarum

- Untuk jahitan am, gunakan nombor 7,8, dan 9 iaitu nombor jarum yang selalu digunakan.
- Jarum ada pelbagai jenis. Jarum yang sederhana panjangnya dan matanya bentuk bujur dipanggil sharps. Jenis ini paling sesuai untuk jahitan am. Between lebih pendek daripada sharps.
- Ia sesuai untuk menjahit jahitan yang halus. Milimeters sama panjangnya dengan sharps dan sesuai untuk jelujur. Crewels atau calyx-eyed-sharps mempunyai mata yang panjang dan sesuai untuk menyulam.
- Matanya yang besar itu disesuaikan supaya benang sulam boleh lulus ke dalam.
- Jarum mesin pula berlainan daripada jarum tangan. Lebih besar nombornya, lebih kasar jarumnya.


Jarum peniti

Gunakan jarum peniti yang halus dan tajam dan yang diperbuat daripada keluli berkilat supaya ia tidak meninggalkan kesan pada fabrik. Cucuk jarum peniti pada span kotak jarum peniti atau kusyen jarum peniti semasa menjahit. Simpan di dalam kotak selepas menggunakannya.
 




0 comments: