Tragedi-Dilanggar Keretapi

MACHANG: Seorang kanak-kanak berusia 19 bulan yang baru pandai berjalan mati dilanggar kereta api selepas dia bertatih keluar dari rumah datuknya dan merangkak ke landasan kereta api kira-kira 40 meter dari rumah di Kampung Sungai Bedal, Temangan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Mohamad Adam Mukhriz, anak sulung daripada tiga beradik itu dikatakan tercampak kira-kira 10 meter dari landasan selepas dilanggar.

Mangsa berada dalam jagaan datuk dan neneknya dan mereka tidak menyedari kanak-kanak berkenaan keluar dari rumah.

Datuknya, Mahmud Mat Daud, 58, berkata, biasanya Adam bangun agak lewat, namun semalam dia bangun awal dan menuju ke landasan kereta api tanpa disedari sesiapa.

“Saya dan isteri yang ketika itu berada di luar rumah, langsung tidak perasan kelibat Mohamad Adam. Saya dan isteri hanya tersedar dia tiada di dalam rumah apabila mendengar bunyi hon kereta api.

“Isteri saya cuba menyelamatkan Mohamad Adam, namun tidak sempat,” katanya yang menjaga Mohd Adam kira-kira dua bulan lalu selepas mendapat kebenaran daripada menantunya.

Bapa kanak-kanak itu, Mohd Afif Jaafar, 27, berkata, tiga hari lalu, dia bermimpi cedera parah di kepala dan mati akibat terbabit kemalangan dan mimpi itu berulang selama tiga hari.

“Saya sangka mimpi itu hanya mainan tidur, tapi rupa-rupanya ia petanda anak sulung akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Menurut Mohd Afif yang menetap di Marang, Terengganu, selepas mengalami mimpi aneh itu, dia berasa tidak sedap hati dan memutuskan pulang ke kampung petang kelmarin selepas memohon cuti dua hari untuk menjenguk Mohd Adam.

“Bagaimanapun, hasrat untuk melihat anak tak kesampaian selepas dihubungi seorang saudara kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam) mengenai kemalangan itu,” kata pekerja syarikat swasta itu ketika ditemui di Hospital Machang, semalam.

Sementara itu, Pengurus Keretapi Tanah Melayu (KTM) Wilayah Timur, Ibrahim Sulaiman berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu membabitkan kereta api Tren Ekspres Senandung Wau yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat.

P/s: Maaflah, berdasarkan gambaran yang diberikan oleh akhbar, kemalangan itu berlaku kerana kecuaian penjaga kanak-kanak itu dan ketidakprihatinan pihak KTM yang tidak (mungkin rosak) membina pagar berhampiran dengan kawasan kediaman. Tragis sungguh

0 comments: