VIDEO: Calon SPM Maut

BACHOK: Seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Ugama (Arab) Azhariah, Melor  dekat sini tidak sempat menikmati mi celup selepas hari pertama menduduki peperiksaan Percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila maut dalam kemalangan Jalan Pasir Puteh – Kota Bharu, di Kampung Pak Badol, semalam.

Mangsa, Ahmad Nazaruddin Mat Sulaiman, 17, yang menunggang motosikal maut akibat cedera parah di kepala selepas digilis sebuah lori tanah dari arah bertentangan.

Menurut ibu mangsa, Rokiah Nordin, 55, berkata, Nazaruddin, beria-ia mahu meminjam motosikal ayahnya, Mat Sulaiman Mohd, 60, yang ketika itu mahu ke masjid berdekatan untuk solat Zuhur.



“Arwah ke sekolah jalan kaki sahaja. Tanpa menukar pakaian seragam, lepas balik sekolah dia terus pinjam motor ayahnya untuk keluar makan mi celup di kedai berdekatan.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan kejadian itu tadi. Tetapi kami redha dengan kehilangan arwah yang sepatutnya menduduki SPM tahun ini,” katanya sayu, “ katanya ketika di temui di kediamannya di Melor.

Rokiah berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu juga tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali kerap menyuarakan hasrat untuk makan mi celup di Kampung Pak Badol bersama rakan-rakan, sejak beberapa hari lalu.





Manakala, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superitendan, Ab Rahim Che Ghani, berkata, dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa dari arah melor memasuki laluan bertentangan, menyebabkan sebuah lori dari arah Pasir Puteh gagal berhenti dan merempuh mangsa.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk bedah siasat. kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


0 comments: