• CIKGU SMK PANTAI REMIS

    Kenangan bersama cikgu-cikgu SMK Pantai Remis sesi 2015...

  • SPH UTM

    Kenangan bersama kawan-kawan SPH UTM Batch 2013...

  • Raya 2012

    Kenangan semua keluarga ada...

  • Perhimpunan Keluarga Al-Jambuli

    Kenangan sambutan Hari Keluarga Al-Jambuli kali ke 18 pada Hari Raya Haji Ke 2 ...

  • 5 Akuan

    Kenangan Bersama kawan-kawan 5 Akaun 2003 SMK Bunut Susu, Pasir Mas..

  • PERKAHWINAN

    Hari paling berbahagia bersama isteri pada 20 september 2015

AKHLAK PENUNTUT ILMU

0 comments
Khutbah Jumaat MSI 24 Feb. 2012
Tajuk: AKHLAK PENUNTUT ILMU
Khatib: Prof. Madya Dr. Hj. Azhar bin Muhammad
Pengarah Pusat Islam, Universiti Teknologi Malaysia


الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئـاتِ أعمالنا، مَن يهده اللهُ فلا مُضِلَّ له، ومَن يُضللْ فلا هادي له، وأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلى حَبِيْبِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أجمعين .  
أما بعد ، فيا عباد الله ، اتقـوا اللهَ أوصيكُم وإيايَ بتقوَى اللهِ فقدْ فازَ المتقُونَ  ، قالَ اللهُ تعالى في كتابهِ العَزيز: يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله حق تقاته ولا تموتن إلا وأنتم مسلمــون (آل عمران 102)

Ma‘asyiral Mukminin RahimakumulLah,

Bertaqwalah kita kepada Allah SWT; dalam erti kata yang sebenarnya iaitu dengan cara bersungguh-sungguh kita melaksanakan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita menjadi seorang hamba yang sentiasa beristiqamah dalam keadaan beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.

Mimbar hari ini mengalu-alukan kepulangan semua mahasiswa ke kampus ini dalam sesi dan semester pengajian yang baru. Ternyata anda semua masih diberikan peluang oleh Allah SWT untuk mendapatkan seberapa banyak ilmu pengetahuan semasa berada di universiti ini; peluang untuk terus memperbaiki lagi adab dan akhlak sebagai seorang penuntut ilmu; maka mulakan sesi belajar ini dengan memperbaharui kembali niat menimba ilmu; niat untuk menjadi orang berilmu kerana Allah SWT. Mimbar kali ini akan membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan adab-adab yang mesti dijaga dan dipatuhi oleh setiap yang bergelar murid, pelajar, mahasiswa atau apa-apa sahaja istilah yang menggambarkan kita menuntut ilmu. 

Pertama sekali, ingatlah bahawa kita semua berada di sebuah tempat yang paling mulia untuk belajar ilmu pengetahuan iaitu di sebuah pondok ilmu, yang kita kenali sekarang dengan nama universiti. Dengan kata lain, anda semua berada dalam sebuah pusat yang sarat dengan ilmu; di sebuah perkampungan tempat berkumpul para penuntut ilmu, para mahasiswa dan para ilmuwan. Justeru perlu kita sedar bahawa kita berada di tempat yang penuh dengan kemuliaan; yang mengingatkan kita bahawa kita mesti beradab, kita mesti berakhlak apabila berada di sini, apatah lagi menjadi warga yang tinggal, diam dan belajar di dalamnya. Allah SWT ada mengingatkan kita dalam konteks keberadaan kita dalam satu-satu majlis ilmu. Firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ وَإِذَا قِيلَ انْشُزُوا فَانْشُزُوا يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Terjemahan: Wahai orang-orang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi ruang daripada tempat duduk kamu (untuk orang lain) dalam majlis-majlis ilmu, maka berikan ruang seboleh-bolehnya, nescaya Allah akan melapangkan (segala halnya) untuk kamu, dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) - beberapa darjat, dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan (Surah al-Mujadalah:11).

Sidang Jumaat yang berbahagia dan dirahmati Allah,

Orang yang menuntut ilmu ialah orang yang mulia. Maka jagalah status sebagai seorang yang matlamat keberadaannya di sini dengan qasad yang suci iaitu untuk menyiapkan diri sebagai seorang yang berilmu. Justeru setiap mahasiswa mahupun mahasiswi yang menuntut ilmu perlu peka dengan adab dan akhlak yang mesti dipatuhi semasa berada di dalam kampus ini untuk menuntut ilmu. Adab dan akhlak ini wajib dipatuhi oleh setiap mahasiswa agar ilmu yang ditimba mendapat keberkatan dan keredaan daripada Allah SWT.

Rebutlah keistimewaan yang ada pada diri seorang penuntut ilmu atau mahasiswa seperti yang dijanjikan oleh Allah sebagaimana sabda Rasulillah SAW daripada Abu Hurairah ra:
ومَنْ سَلَكَ طريْقاً يَلْتَمِسُ فيهِ عِلْماً سهَّلَ اللهُ له بِهِ طريقاً إلى الجَنَّةِ
Ertinya: Sesiapa yang menempuhi satu jalan yang dengannya dia mendapat sesuatu ilmu, nescaya Allah akan permudahkan baginya satu jalan untuk menuju ke syurga (HR Muslim).

Pertama sekali diingatkan kepada semua mahasiswa; sebagai seorang yang terpelajar, untuk sentiasa menjaga perasaan kedua ibu bapa kita dan sentiasa menghormati mereka, sentiasa berhubung dengan mereka, sentiasa mengambil berat tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat. Ingatlah bahawa keberadaan kita di atas dunia ini adalah kerana keberadaan mereka berdua; dan keredaan Allah ke atas kita juga bergantung kepada keredaan ibu bapa terhadap kita.

Sebagai seorang yang terpelajar, perlu diingatkan juga agar sentiasa menghormati guru dan mematuhi segala nasihat dan arahannya selama mana tidak menyalahi syariat Islam. Guru atau pensyarah bukan hanya sebagai seorang guru di sekolah, pensyarah di universiti sahaja tetapi kita mestilah menganggap bahawa merekalah pengajar, merekalah pengasuh, merekalah pembimbing, merekalah penasihat, dan merekalah pendidik yang mesti dihormati walau di mana jua mereka berada.

Sebagai seorang yang terpelajar, perlu diingatkan juga agar sentiasa mengamalkan segala ilmu yang dipelajari. Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai perisai atau benteng yang kebal daripada terjerumus ke lembah perlakuan maksiat. Jadikanlah juga ia sebagai senjata untuk mematahkan serangan musuh Islam. Jadikan juga ilmu yang dipelajari sebagai penawar yang akan menyembuhkan penyakit dan budaya jahiliyah yang menjadi barah dalam masyarakat kini.

Sebagai seorang yang terpelajar, perlu diingatkan juga agar tidak menjadikan ilmu yang ada di dada semata-mata sebagai alat untuk mengejar kekayaan dan mengaut kemewahan hidup di dunia yang bersifat sementara ini hingga melupakan akhirat yang kekal abadi.

Ma‘asyiral Mukminin RahimakumulLah,
Sebagai penuntut ilmu, mahasiswa mestilah membersihkan hati daripada kecenderungan dan perlakuan buruk yang tidak diizinkan oleh Allah SWT. Ini disebabkan ilmu itu tempatnya di hati dan tujuannya untuk mendekatkan diri dengan Allah, justeru hati mestilah berada dalam keadaan bersih untuk menerima ilmu-ilmu yang dipelajari nanti. Justeru setiap yang bergelar “mahasiswa mahupun mahasiswi” wajib menjauhi maksiat atau apa-apa sahaja bentuk kemungkaran yang dilarang oleh Allah SWT. Kita perlu menghidupkan budaya amar ma’ruf dan nahi munkar dalam diri kita sebagai seorang mahasiswa dan persekitaran kita mengikut kemampuan yang ada. Ini jelas kerana ilmu adalah nur, cahaya yang suci dan akan menjauhi kita sekiranya kita bergelumang serta kalut dengan dosa dan noda.

Justeru mahasiswa wajar sekali menjauhi perkara-perkara yang boleh memunahkan akhlak, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik akhlak serta perilakunya, bersih serta tenang hatinya. Jika perangai dan hati mahasiswa dicemari dengan elemen-elemen yang negatif seperti melakukan kemaksiatan terhadap Allah; maka ini menyebabkan seseorang penuntut ilmu sukar untuk menguasai ilmu pengetahuan. Al-Imam al-Syafei mengingatkan kita bagaimana gurunya Waki‘ pernah membimbingnya agar beliau meninggalkan maksiat untuk memudahkannya mendapatkan ilmu.

شكوت إلى وكيع سوء حفظي              فأرشدني إلى ترك المعاصي
وأخبرني بـأن العلم نور              ونور الله لا يُهدى لعاصي

Ertinya: “Aku mengadu kepada Waki‘ tentang kurangnya hafazanku, maka dinasihatkan aku agar meninggalkan maksiat, serta memaklumkan kepadaku sesungguhnya ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada orang yang melakukan maksiat.”

Kita bimbang kerana kebanyakan mahasiswa sekarang kurang mengambil berat tentang hal-hal sedemikian. Ada yang menganggapnya sebagai suatu perkara kecil dan remeh temeh seperti menjaga dosa mendedahkan aurat, menjaga dosa yang dilakukan melalui mata, tangan sama ada secara terang atau melalui internet, menjaga dosa melalui pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan sebagainya. Kita bimbang sekiranya perkara-perkara seumpama ini tidak diambil perhatian, maka perkara-perkara yang lebih besar dan dosa-dosa yang mengundang kemurkaan Allah akan menyusul …. wal ‘iyazubillah min zalik!

Sejak akhir-akhir ini dengan mudah kita dapati soal pakaian tidak diambil berat oleh kebanyakan mahasiswa. Kita merasa sedih yang amat sangat apabila ada dalam kalangan mahasiswa kita yang berpakaian selekeh atau simple yang tidak menggambarkan imej sebagai seorang penuntut ilmu, sebagai seorang mahasiswa atau mahasiswi. Pemakaian menutup aurat tidak diambil perhatian oleh mahasiswa dan mahasiswi kita sama ada semasa berada di dalam kampus ini ataupun di luar kampus. Masih ada lagi mahasiswa yang berseluar pendek semasa bermain, berjogging atau bersukan; masih ada kalangan mahasiswi yang masih tidak menutupkan rambut mereka – menganggap rambut bukan salah satu anggota badan  yang mesti merasa malu untuk dipertontonkan kepada ramai - bahkan masih ramai kalangan mahasiswi yang berseluar jeans dan memakai t-shirt yang berlengan pendek, ketat dan sendat hingga menampakkan bentuk tubuh badan mereka walaupun dikatakan berpakaian atau bertudung. Bahkan terdapat mahasiswi yang mengenakan pakaian seperti lelaki sedangkan jelas ini dilarang dalam Islam; lelaki berpakaian wanita mahupun wanita berpakaian lelaki jelas dikutuk oleh Allah dan Rasul-Nya. Malah masih ramai dalam kalangan mahasiswi kita yang berpakaian sedemikian rupa hatta semasa berada dalam majlis ilmu di dalam dewan atau bilik-bilik kuliah.

Begitu juga sebagai seorang mahasiswa atau mahasiswi yang membawa amanah menjaga kesucian ilmu yang dipelajari, maka hendaklah kita menjaga kehormatan dan maruah diri kita terlebih dahulu. Contohnya dalam pergaulan kita seharian; pastikan perhubungan antara satu sama lain dalam ruang lingkup menjaga batas-batas yang diizinkan oleh syarak, apatah lagi antara seorang mahasiswa dengan mahasiswi yang tiada hubungan mahram. Islam tidak mengizinkan seorang mahasiswa melihat seorang mahasiswi dengan perasaan ghairah; melihat auratnya, apa lagi menyentuhnya walaupun hanya menyentuh tangannya sahaja. Justeru adanya had atau batasan daripada Allah dan Rasul-Nya dalam soal perhubungan lelaki dan perempuan yang bukan mahram ini, maka patutlah kita terutama orang yang disebut sebagai penuntut ilmu mengambil sikap lebih berhati-hati. Semasa berada di dalam dewan dan bilik kuliah ataupun di dalam makmal sama ada dalam situasi belajar bersama pensyarah, atau belajar dalam kumpulan, atau melakukan tugasan kumpulan; pastikan had yang ditentukan Allah ini diambil kira oleh semua pihak.

Ingatlah! Seorang mahasiswa perlu mengelakkan diri daripada keluar bersama seorang mahasiswi, berdua-duaan ke sana ke mari sama ada dalam kawasan kolej kediaman, di luar kampus atau di mana-mana sahaja, apatah lagi berada di atas sebuah motosikal ataupun di dalam sebuah kereta secara berdua-duaan. Juga kurang wajar seorang mahasiswa duduk makan minum bersama-sama dengan seorang mahasiswi yang tiada pertalian apa-apa pun dengannya sama ada di cafe kolej atau arked atau di mana-mana sahaja; berbual, bergurau senda, malah bersuapan makan minum seolah-olah mereka adalah sepasang suami dan isteri. Rasulullah SAW banyak meninggalkan pesanan dan peringatan kepada kita tentang hubungan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram. Antaranya:
لا يخلون رجل بامرأة إلا مع ذي محرم
Ertinya: Seorang lelaki tidak boleh bersama dengan seorang perempuan kecuali ada bersamanya mahram”(HR Bukhari).

ما خلا رجل بامرأة إلا وكان الشيطان ثالثهما
Ertinya: “Tidak akan berlaku seorang lelaki bersama dengan seorang perempuan melainkan syaitan adalah yang ketiga antra keduanya” (HR al-Tirmizi).

Cuba kita renungkan; adakah situasi yang dinyatakan oleh Rasulullah ini diambil berat.  Ada tak dalam kalangan mahasiswa mahasiswi kita yang keluar bersama-sama di luar kampus daripada waktu kuliah, terutama waktu malam; balik pula ke kolej sampai lewat malam bersama pasangan masing-masing? Kalau ada berlaku sedemikian; di manakah maruah seorang mahasiswa dan mahasiswi; muslim dan muslimah yang berpegang pada kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya? Kalaulah tiada perasaan malu kepada Allah dan Rasul-Nya, tidak adakah secebis perasaan MALU kepada pengawal keselamatan, pensyarah, pengetua dan felo-felo di kolej kediaman masing-masing kerana mereka ini umpama ibu dan bapa kita semasa keberadaan kita di kampus ini.
Wahai penuntut-penuntut ilmu, tutuplah segala keaiban diri dan jagalah maruah diri kita kerana ia membawa kepada keredaan Allah dan manusia lain kepada diri kita. Malulah kita kepada Allah dan Rasul dengan sebenar-benar malu, tambahan pula kita adalah penuntut ilmu yang ada harga diri dan dipandang mulia oleh masyarakat.

Sidang Jumaat yang berbahagia, para mahasiswa dan seluruh warga kampus yang dirahmati Allah SWT,

Bagi menyemarakkan lagi budaya ilmu di dalam kampus ini, tinggallah semua amalan yang jelas melanggar hukum Allah ini. Sebaliknya marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT. Mahasiswa wajib memastikan diri masing-masing agar sentiasa melakukan solat lima waktu secara berjemaah dan mengamalkan wirid serta doa selepas solat kerana ia boleh menghidupkan hati yang mati dan ia mendatangkan rasa kehambaan kita di hadapan Allah Azza Wa Jalla hingga memungkinkan kita bermuhasabah. Jangan cuba melengah-lengahkan solat lima waktu, dan sentiasa membaca al-Quran agar hidup kita sentiasa diberkati dan diredai oleh Allah. Lazimkan diri untuk berada bersama-sama jemaah di surau-surau kolej atau di masjid kita ini. Dapatkan seberapa banyak pengajian ilmu-ilmu agama kerana ilmu-ilmu ini bertaraf wajib bagi kita untuk dipelajari. Sememangnya ilmu-ilmu ini tidak diajar di bilik-bilik kuliah, tetapi menjadi kewajipan setiap daripada kita untuk mempelajarinya, maka kita wajib berusaha mencarinya. Alhamdulillah, di dalam kampus kita ini banyak majlis ilmu agama yang dianjurkan oleh Pusat Islam atau pihak-pihak lain bagi memantapkan lagi rohani, iman dan taqwa warga kampus; kuliah-kuliah agama, ceramah dan sebagainya yang dibimbing oleh tenaga-tenaga pembimbing yang berkelayakan dan bertauliah sama ada dari dalam atau luar. Marilah kita mengambil peluang ini; peluang yang mungkin hanya datang kali ini sahaja dalam hidup kita kerana kita akan meninggalkan dunia yang fana ini pada bila-bila masa sahaja tanpa kita jangka.

Ingatlah bahawa menuntut ilmu adalah suatu jihad. Mahasiswa yang menuntut ilmu adalah orang-orang yang sedang berjihad. Jangan sekali-kali cuba mencalarkan imej anda sebagai seorang mujahid yang berjihad untuk mendapatkan  ilmu di universiti ini. Seorang mujahid atau orang yang berjihad sudah semestinya akan menjauhi segala perkara yang boleh membawa kepada kemurkaan Allah. Cuba kita fikirkan;

  • Adakah wajar kita berpakaian mendedahkan aurat sedangkan kita tengah berjihad?
  • Adakah wajar kita melakukan perbuatan mungkar atau maksiat sedangkan kita tengah berjihad?
  • Adakah wajar kita berada berdua-duaan atau berkhalwat dengan pasangan bukan mahram kita sedangkan kita tengah berjihad?
  • Adakah wajar kita tidak melakukan solat atau perintah Allah yang lain sedangkan kita tengah berjihad?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah! Tentu jawapannya “tidak sama sekali” !

Marilah kita memartabatkan pembudayaan ilmu di kampus penyelidikan ini; budaya ilmu dalam erti kata yang sebenarnya sebagaimana yang ditunjukkan oleh para ulama yang cintakan ilmu. Marilah kita hapuskan segala sifat-sifat yang tidak wajar ada bagi seorang yang bergelar “mahasiswa” sekaligus sebagai seorang yang mengaku dirinya muslim atau muslimah. Marilah kita beradab dan bersifat dengan akhlak Islamiyyah dalam menuntut ilmu. Allah telah memberikan nikmat-Nya kepada kita sebagai seorang terpelajar, maka hargailah nikmat ini dengan sebaik-baiknya!
أعُوْذُ بالله مِنَ الشَّيْطَاْنِ الرَّجِيْمِ
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلا أُولُو الألْبَابِ
Terjemahan:  Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan yang ditentukan-Nya), dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak, dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya (Surah al-Baqarah:269)

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْءانِ اَلْعَظِيْمْ وَنَفَعَنِيْ وَإِيَّاكُمْ ِبمَا فِيْهِ مِنَ اْلآياَتِ وَالذِّكْرِ اَلْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّيْ وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ اَلسَّمِيْعُ اَلْعَلِيْمُ. أُوْصِيْكُمْ عِبَادَ الله وَإِيَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ اَلْمُتَّقُوْنَ، وَأَحُثُّكُمْ وَنَفْسِىْ عَلَى طَاعَةِ اللهِ وَرَسُوْلِهِ فِىْ كُلِّ وَقْتٍ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ، أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ اَلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِماتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِناتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَياَ فَوْزَ اَلْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ اَلتَّآئِبِيْنَ.

Baca Seterusnya »

Apabila Ilmu Agama di tarik Allah

0 comments
Islam adalah satu-satunya agama di dunia yang sangat mendorong umatnya untuk menuntut ilmu. Istilah ulama pula digunakan pada orang yang sangat memahami permasalahan agama dan mendalami ilmu agama. Di zaman ini, hampir tiada lagi ulama’ yang mempunyai penguasaan ilmu yang pelbagai melainkan hanya yang pernah belajar beberapa bidang ilmu tetapi hanya menguasai satu atau dua cabang ilmu sahaja.


Berbeza dengan zaman lampau, orang yang disebut sebagai ulama’ adalah mereka yang menguasai dengan “ahli” banyak cabang-cabang ilmu. Dengan perkataan lain golongan ulama’ semakin lama semakin pupus. Justeru dengan waktu yang semakin singkat di akhir zaman ini ditambah dengan kesibukan dan kelalaian kita sendiri dalam mengurus waktu marilah kita sama-sama mengkaji dan mengambil ilmu daripada mereka kerana kehidupan ini tidak akan berjalan dengan tertib tanpa bimbingan dari para ulama’.

Tetapi kenyataannya, ramai orang pada hari ini yang tidak memahami situasi tersebut sehingga mereka merasa mampu mengatur kehidupan dunia tanpa merasa perlu melibatkan golongan ulama. Bahkan ulama dianggap sebagai kelompok mereka yang tidak mengetahui situasi dan kondisi, tidak memahami perkembangan zaman dan hanya berbicara dalam masalah ibadah dan akhirat semata.

Akibatnya timbul sikap menolak meremehkan golongan ulama dan keterlibatan mereka dalam urusan pengaturan dunia. Justeru tidak hairan ada golongan manusia yang menjadikan orang-orang yang jahil dan bodoh sebagai pemimpin mereka hingga akhirnya membawa kepada kesesatan dan kemusnahan.

Sabda Rasulullahs.a.w Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Allah tidak akan mengambil kembali ilmu (agama) dengan mengambilnya dari (dalam hati) manusia, tetapi mengambilnya kembali dengan kematian para ulama hingga tidak bersisa, lalu orang ramai akan mengambil orang-orang bodoh sebagai pemimpinnya yang apabila orang-orang itu bertanya kepada mereka, mereka akan memberikan jawapan-jawapan yang tidak didasarkan kepada ilmu. Maka mereka akan berada dalam kesesatan dan menyesatkan orang lain.”

Baca Seterusnya »

GAMIS&SIGMA - Siasat video Sembang Rakyat tentang hudud

0 comments
Kuala Lumpur, 10 Dis: Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) mendesak agar siasatan segera dijalankan terhadap penyebaran video Sembang Rakyat di laman sosial facebook dan youtube

Video tersebut yang berjudul 'Musim Hudud Pas' dan 'Lagi Hudud' dikhuatiri akan mencetuskan salah faham serta penghinaan terhadap hukum Islam yang juga menjatuhkan kesucian agama Islam.

Sehubungan dengan itu, GAMIS telah membuat laporan polis di Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung isu ini. GAMIS memohon pihak berkuasa terutama polis dan Kementerian Penerangan dan Komunikasi, menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan sewajarnya. 

GAMIS juga mendesak agar semua krew penerbitan video ini termasuk pengarah dan pelakon yang terlibat memohon maaf secara terbuka terutama kepada seluruh umat Islam kerana penyiaran dan penyebaran video ini menyentuh sensitiviti umat islam. 

Presiden GAMIS, Saudara Akram Ikrami Taib Azamudden berkata, "Apa yang menjadi perhatian GAMIS berhubung isu ini adalah pertikaian soal perlaksanaan hukum hudud. Bagi peringkat mahasiswa, kami tidak peduli soal pertembungan parti politik dalam video ini, tetapi yang kami rasa tercabar ialah penghinaan terhadap hukum Islam tersebut. Lakonan mereka jelas menunjukkan penyelewengan tentang kefahaman hukum hudud dan yang lebih merisaukan ialah ia akan menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.”

“GAMIS mendesak agar pihak polis menyiasat penerbit, pelakon dan penyebar video ini, dan pihak kami juga mendesak Kementerian Penerangan dan Komunikasi mengambil tindakan serius berhubung isu ini. Selain itu, GAMIS memohon agar pihak JAKIM selaku pihak yang berautoriti memberi penjelasan sebenar berkaitan hukum hudud.”

Manakala Pengerusi Serikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA), Saudari Rohayu Rusli berkata, "GAMIS dan SIGMA menggesa NGO-NGO Islam yang serius memperjuangkan isu aqidah untuk turut sama menyatakan pendirian berhubung isu ini.

GAMIS juga menyatakan kesediaan untuk menjadi koordinator bagi menerangkan isu ini, serta merancang tindakan susulan untuk membawa isu ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Media.

Sumber  :www.mygamis.net

Baca Seterusnya »

Orang yang Tak Boleh Diajak Berkawan

0 comments

Terhadap mereka ini al-Quran dengan tegas menyatakan:

"Hai orang-orang yang beriman! Jangan kamu menjadikan sahabat karib orang-orang selain golonganmu, mereka itu tidak mau menolong kamu dari kecelakaan, mereka itu senang kalau kamu susah; sungguh telah nampak kebencian dari mulut-mulut mereka, sedang apa yang tersembunyi dalam hati mereka lebih besar. Sungguh kami telah menerangkan kepadamu ayat-ayat kami kalau kamu mau berfikir. Kamu ini adalah orang-orang yang kasih kepada mereka, tetapi mereka tidak mau kasih kepadamu." (ali-Imran: 118-119)

Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang sifat-sifat mereka kepada kita, bahwa mereka itu menyembunyikan permusuhan dan kebenciannya kepada kaum muslimin dan telah dinyatakan dalam lidah mereka.

Dan firmanNya pula:
"Engkau tidak dapati orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir itu menunjukkan kecintaannya kepada orang-orang yang menentang Allah dan RasuINya, sekalipun mereka itu ayah-ayahnya sendiri, anak-anaknya sendiri, saudara-saudaranya sendiri dan keluarganya sendiri." (al-Mujadalah: 22)

Orang yang menentang Allah dan Rasul tidak sekedar karena kufur tetapi justru karena mereka memusuhi Islam dan kaum muslimin.

Dan firman Allah:
"Hai orang-orang yang beriman! Jangan kamu jadikan musuhku dan musuhmu sebagai ketua, kamu tampakkan kepada mereka rasa cinta, padahal mereka telah kufur terhadap kebenaran yang datang kepadamu, mereka akan mengusir Rasul dan kamu juga, lantaran kamu beriman kepada Allah sebagai Tuhanmu." (al-Mumtahinah: 1)

Ayat ini diturunkan berkenaan dengan masalah persahabatan dengan orang-orang musyrik Makkah yang pada waktu itu mereka memerangi Allah dan Rasul, dan mengusir orang-orang Islam dari Makkah justru karena mereka mengatakan kami beriman kepada Allah.

sumber : -Syekh Muhammad Yusuf Qardhawi

Baca Seterusnya »

4 CIRI-CIRI TAQWA

0 comments
 Pertama: Ingat dua perkara

Kebaikan, jasa dan budi orang kepada kita perlu diingat selalu dan sekiranya berpeluang, maka eloklah disebut-sebut dan dibalas walaupun balasan itu tidak setimpal. Lebih-lebih lagilah kita perlu ingat dan mensyukuri segala nikmat dan limpah kurnia Allah SWT kepada kita yang tidak terhingga banyaknya.

Firman Allah SWT: ”Waamma bini’matihi rabbika fahaddith’.
Maksudnya: ”Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (sebagai tanda bersyukur).” (Adh Dhuha:11)

Ini supaya kita terasa terhutang budi dan berterima kasih kepada orang yang berbuat baik dan berjasa kepada kita.

Tentulah terhadap Allah, lebih-lebih lagi patut kita rasakan sedemikian. Memang patut kita taat dan bersyukur kepada Allah, dengan membuat amal kebajikan biarpun segala amalan itu tidak mungkin setimpal dengan kurniaan Allah.

Kedua: Lupa dua perkara

Kesalahan kita kepada orang lain hendaklah sentiasa kita ingat dan kita minta maaf daripadanya. Ingat selalu tentang kesalahan diri agar kesalahan itu tidak diulangi. Rasa bersalah itu penting kerana rasa itulah yang mendorong kita meminta maaf.

Itu terhadap kesalahan kita terhadap sesama manusia. Lebih-lebih lagilah kita perlu ingat dosa-dosa dan kederhakaan kita kepada Allah. Kita iringi ingatan kepada dosa-dosa itu dengan bertaubat. Kekalkan rasa berdosa itu supaya kita terhindar dari terbuat dosa-dosa yang lain dan hati kita sentiasa takut dan berharap agar Allah ampunkan dosa kita.
  1.    Lupakan segala budi, jasa dan kebaikan kita kepada orang.Jangan diungkit-ungkit dan dikenang-kenang. Kembalikan segala kebaikan yang kita buat itu kepada Allah. Rasakan seolah-olah kita   tidak pernah berbuat baik kepada orang. Lebih-lebih lagi, kita kena lupakan segala amal ibadah yang telah kita buat kepada Allah. Jangan diungkit-ungkit atau dikenang- kenang.  Rasakan seolah-olah kita tidak beramal. Dengan itu moga-moga hati kita tidak    dilintasi oleh rasa ujub, sum’ah atau riyak atau rasa diri baik dan mulia.

2.      Lupakan kejahatan orang terhadap diri kita. Anggaplah seolah-olah tidak ada siapa yang bersalah dengan kita supaya tidak tercetus rasa marah atau dendam terhadap orang.Lebih-lebih lagi hendaklah kita lupakan segala kesusahan dan ujian, musibah atau  mala petaka yang Allah timpakan kepada kita seperti sakit, kematian, kerugian, kemalangan dan kegagalan. Atau banjir, kemarau, ribut taufan, tsunami, wabak penyakit, kemeseletan ekonomi         dan sebagainya. Supaya tidak tercetus perasaan tidak sabar dan tidak redha dengan           ketentuan Allah.

Ketiga: Menyukai Apa Yang Allah Suka

Yakni kesukaan kita hendaklah selari dengan kesukaan Allah. Kita buat apa sahaja perbuatan dan amalan menurut apa yang disukai Allah. Ini mudah kalau apa sahaja yang Allah suka, kita pun suka.

Bukan soal sesuatu amalan itu kecil atau besar, fardhu, wajib atau sunat tetapi asalkan Allah suka, kita pun suka dan kita pun membuatnya.

Itu manifestasi dari cinta kita yang mendalam kepada Allah. Seseorang itu akan menyukai apa sahaja yang disukai oleh orang yang dicintainya.

Soal amalan fardhu, wajib atau sunat sudah tidak jadi pertimbangan. Semua amalan yang Allah suka akan kita buat. Ia bukan juga soal mendapat pahala atau fadhilat. Ia lebih kepada hasrat untuk menyatakan dan membuktikan cinta dan kehambaan kita kepada Tuhan.

Keempat: Membenci Apa Yang Allah Benci

Yakni kebencian kita hendaklah selari dengan kebencian Allah. Kita tinggalkan apa sahaja perbuatan dan amalan menurut apa yang dibenci oleh Allah. Ini mudah kalau apa yang Allah benci, kita pun benci. Nafsu pasti mendorong untuk berbuat apa yang Allah benci kerana nafsu itu suka kepada apa yang Allah benci dan benci kepada apa yang Allah suka.’

Tetapi fitrah tetap kuat dan teguh. Fitrah yang suci murni itu, wataknya berlawanan dengan watak nafsu. Ia suka kepada apa yang Allah suka dan benci kepada apa yang Allah SWT benci. Nafsu tidak dapat mengalahkannya kerana rasa bertuhan dan rasa kehambaannya yang mendalam.


Baca Seterusnya »