Pilihanraya kampus, janganlah serius sangat prof!
Pilihanraya kampus, janganlah serius sangat prof!
Terus terang saya katakan, walaupun saya sudah hampir 30 tahun bekerja dalam universiti tetapi tidak pernah ambil pot pun tentang politik pelajar dan pilihanraya kampus. Sekadar untuk memenuhi entri blog saya ini, saya rasa terpanggil juga hendak memberi sedikit ulasan dan komen berkaitan dengannya.
Sejak zaman saya belajar di universiti lagi (tahun 1978) hinggalah sekarang, saya dapat melihat sikap pegawai-pegawai yang mengendali pilihanraya di universiti atau kampus di Negara kita masih tidak banyak berubah.
Mereka kelihatan bersikap berpihak kepada pemimpin pelajar yang menyokong parti pemerintah. Mungkin pegawai-pegawai yang berada di jawatan tinggi di universiti ini sangat bergantung kepada sokongan mereka kepada parti pemerintah maka mereka rasa terhutang budi dan sebagai balasan mereka akan pastikan pemimpin pelajar yang menyokong parti pemerintah sahaja yang akan menang dalam pilihanraya kampus.
Kadang-kadang mereka terlalu berkepentingan dan sikap mereka dilihat lebih teruk lagi dari SPR yang mengendalikan pilihanraya Negara kita.
Relax lah prof! Janganlah ambil serius sangat. Nanti prof juga yang tak boleh tidur malam, tekanan darah naik dan dapat serangan jantung. Ini bukan pilihanraya yang akan menentukan siapa nak jadi Perdana Menteri Malaysia, ia hanyalah hendak memilih pemimpin pelajar di universiti atau kampus saja. Malah bukan hendak menentukan siapa yang hendak menjadi Naib Canselor pun.
Selama ini saya sendiri pun tidak pernah tahu dan tidak pernah ambil tahu, pemimpin pelajar yang menyokong parti politik mana yang menang. Apatah lagi orang-orang luar sana, terutamanya orang-orang kampung, kalau tak percaya tanyalah kepada pak cik dan mak cik felda sana, siapa nama pemimpin pelajar yang menang pilihanraya kampus baru-baru ini. Kalau mereka boleh jawab, memang patut kita risau.
Saya lebih suka kalau pilihanraya kampus ini dilihat dari sudut akademik. Pelajar-pelajar dipamirkan dengan amalan demokrasi yang sebenar.
Tidak banyak pelajar belajar tentang demokrasi jika kita bawa corak amalan demokrasi Negara ke dalam kampus. Nanti pelajar tidak akan dapat membezakan demokrasi yang Negara kita amalkan dengan demokrasi sebenar. Akhirnya bila mereka keluar universiti, mereka akan meneruskan amalan seperti yang sedia ada, kerana kepada mereka itulah amalan demokrasi sebenar.
Berbanding orang-orang seperti saya, yang pernah tinggal di Britain walaupun untuk masa setahun, dapat merasa dan mengalami amalan demokrasi yang sangat jauh berbeza dari yang kita amalkan di Malaysia. Walaupun demokrasi yang Negara kita amalkan terlalu banyak ‘tempangnya’ tetapi masih juga kita mahu katakan ia sebagai demokrasi.
Amalan demokrasi yang kita amalkan sekarang ini sudah terlalu jauh menyimpang dari lunas-lunas dan rukun-rukunnya, dan telah menjadi sebati kepada ahli-ahli politik Negara kita, sangat sukar untuk diubah.
Sesuai sebagai pusat akademik, tempat berlakunya proses belajar dan pembelajaran, mungkin di kampus atau di universiti adalah tempat yang sangat sesuai kalau kita pamirkan amalan demokrasi yang sebenar kepada pelajar. Oleh itu bila mereka keluar dari universiti nanti, kalau pun mereka ingin melibatkan diri dengan politik, mereka telah dilengkapkan untuk menjadi ahli politik yang penuh rasa tanggungjawab, bukan sekadar menjadi ‘beruk-beruk’ politik.
Dengan itu saya menggesa supaya dihidupkan amalan demokrasi yang sebenar di kampus. Beri pelajar kebebasan bersuara dan kebebasan memberi pendapat. Beri ruang yang secukupnya untuk mereka berhujah dan meyerlahkan bakat kepimpinan mereka. Hapuskan permit-permit dan peraturan yang berat sebelah. Pihak pengurus universiti dan pihak pengendali pilihanraya kampus mestilah sentiasa mempamirkan sikap telus, adil dan bebas.
Mungkin terlalu besar risikonya kalau kita mengambil pendekatan revolusi seperti yang berlaku di Mesir, Libya dan Bahrain untuk mengubah senerio politik Negara kita. Saya rasa, langkah yang lebih baik dan selamat, kita harus memulakan perubahan itu secara evolusi dari sekarang, dan tempat yang paling sesuai untuk kita memulakannya ialah di universiti atau kampus.
0 comments: