Dilema the times,keprihatinan UTM dan kemuliaan ISLAM

Baru seminggu bumi Universiti Teknologi Malaysia didatangi ulama besar Nusantara bagi berkongsi ilmu dengan sebahagian mahasiswa dan staf UTM, tiba-tiba kita dikejutkan pula dengan penganjuran konsert/gig The Times sempena UTM International Horse Show 2011. Cukup mudah martabat keilmuan gedung ilmu ini dan warganya dinodai virus-virus hedonisme dan pihak luar, yang sudah pasti mencari peluang dan ruang bagi menjahanamkan jiwa-jiwa penuntut ilmu di IPT khususnya di UTM. Perlu diingat, Islam tidak menghalang hiburan tapi pandanglah dan sedarlah di mana bumi kalian berpijak ketika ini.

Sia-sia kita angkat martabat para ilmuwan,kita beri gelaran Doktor Falsafah, Profesor, Profesor Madya, malah kita angkat al-Quran sebagai elemen pada logo UTM, kita gariskan moto 'Kerana Tuhan Untuk Manusia' (wajib mahasiswa Islam fahami dengan kalimah Lillahita'ala ), kita perkenalkan Key Amal Index, kita perkasakan peranan Pusat Islam dan sebagainya dengan harapan Islam terus memayungi UTM dan warganya .

Persoalkan diri kita seketika; apakah kita tidak merasa sedih walau sedikit pun bila mana elemen-elemen maksiat seperti ini masih mendapat tempat di sini?. Secara peribadi, saya cukup sedih dengan perkara ini dan pada masa saya tidak segan silu menyatakan sokongan sebulat suara, seiya sekata bantahan yang dibuat oleh pimpinan-pimpinan mahasiswa UTM. Ingatlah dalam Islam ada garis panduan acara / konsert yang perlu dipatuhi. Di peringkat saya sendiri, saya suka berkongsi serba sedikit pengetahuan dengan kalian mengenai apa yang telah diletakkan oleh Islam sebagai satu rujukan bersama bagi mengadakan konsert atau aktiviti hiburan supaya tidak melampaui hukum syarak. Pertamanya :

1- Hendaklah dipastikan muzik / lagu / skrip yang tidak mempunyai perkataan yang boleh membawa ke arah bertentangan dengan aqidah seperti menyalahi syariat Allah SWT, memburuk-burukkan Rasulullah SAW, melekehkan para sahabat, meragui hari kiamat dan pembalasan dosa pahala juga tiada unsur memuja atau taksub kepada wanita.

Allah SWT memberi peringatan kepada sesiapa yang meragui kebenaran hari kiamat dengan firmannya:

“Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya - supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan. Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa”. (surah Taaha : 15-16)


2- Suatu persembahan / konsert yang dijalankan hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga hak-hak Allah dan kewajipan yang lain terabai seperti menunaikan ibadah, hak mencari dan memberi nafkah, menuntut ilmu dan sebagainya.

“Tidaklah ada diantara orang Muslim jika tiba waktu solat wajib, lalu dia membaguskan wudhuknya, kekhusyukannya, dan ruku'nya melainkan solat itu menjadi penebus dosa-dosa sebelumnya, selagi dia tidak mengerjakan dosa besar, dan itu berlaku selamanya”. (Hadis Riwayat Muslim)



3- Muzik atau nyanyian yang disampaikan tidak mempunyai senikata lagu berunsur maksiat dan lagho seperti membawa kepada rangsangan ghairah nafsu melalui tema-tema cinta yang melampau, luahan perasaan dan kerinduan yang berlebihan kepada manusia sehingga mendorong pendengar dan remaja kepada melakukan maksiat dan dosa.

Oleh itu nyanyian sebegini hendaklah dijauhi berdasarkan firman Allah seperti berikut:

“Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia (lagha), mereka berpaling daripadanya.” (surah Al Qasas : 55)


“Sesungguhnya Allah telah menentukan bahagian seseorang tentang zina yang tidak mustahil didapatinya. Maka zina mata adalah memandang, zina lidah adalah mengucapkan, zina hati adalah mengingini dan faraj (kemaluan) membenarkan atau mendustakannya" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


4- Hendaklah hiburan tidak diiringi atau dialunkan dengan instrumentbunyian terlampau seperti budaya rock sehingga penonton / pendengar mengikut rentak (melompat-lompat, menjerit dan bersorak) menjatuhkan akhlak mereka dan mendatangkan fitnah kepada diri mereka.


5- Penyanyi, pembuat persembahan dan penonton yang hadir hendaklahmenjaga auratnya, tidak melakukan gerak badan yang memberahikan ataupun mempersembahkan nyanyian dengan suara yang menyebabkan ransangan nafsu tidak soleh dikalangan pendengar / penonton. Sekalipun lagu dan senikata yang disampaikan adalah baik, dalam keadaan ini ianya tetap menjadi haram.

Allah swt berfirman berkenaan tuntutan menutup aurat: “Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan.” (surah Al A'raf : 26)


Rasulullah saw juga memberi amaran kepada wanita yang tidak menutup aurat mereka:

“Sebahagian dari penghuni neraka ialah perempuan yang memakai pakaian yang menyerupai telanjang, pakaian yang sesat dan menyesatkan. Mereka tidak masuk ke syurga dan tidak mencium baunya.” (Hadis Riwayat Muslim)


“Apabila umatku melakukan 15 perkara maka mereka layak untuk menerima bala Allah. Antara 15 perkara itu ialah…. orang ramai menjadikan wanita sebagai penyanyi (penari-penari), alat-alat yang melalaikan (muzik).” (Hadis Riwayat Tarmidzi)



6- Hendaklah dipastikan tiada percampuran di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa sekatan dan had hingga membawa kepada bersentuhan antara lelaki wanita ajnabi, tiada majlis tari-menari, tidak berlakunya acara minum arak, pertaruhan judi, tiada drama /lakonan-lakonan liar dan seumpamanya.

Rasulullah saw bersabda dalam hal pergaulan lelaki wanita ajnabi ini:

“Sekiranya ditikam di kepala seseorang kamu dengan sebatang besi adalah lebih baik baginya dari menyentuh kulit wanita yang tidak halal untuk disentuh.” (Hadis Riwayat Baihaqi)



7- Penyanyi tersebut hendaklah dari kalangan lelaki jika penontonnya adalah lelaki dan wanita manakala jika persembahan itu tertutup dan semua yang berkait dengannya adalah wanita maka dibolehkan penyanyi itu dari kalangan wanita. Ini adalah bagi mengelak segala fitnah dan punca kerosakan dari suara wanita dan pergerakan manja wanita yang menggoda.

Firman Allah SWT:

“Maka janganlah kamu wahai wanita berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (surah Al Ahzab : 32)


Dan Rasulullah SAW juga bersabda:

“Daripada Abu Malik al-Asy’ari daripada Nabi saw bersabda; Beberapa orang daripada umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan bukan nama asalnya dan dialunkan muzik kepada mereka dan dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi perempuan. Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah akan menjadikan mereka kera dan babi.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)


PERINGATAN Syaitan selalunya mengambil peluang dari hiburan yang melalaikan untuk menyesatkan dan melaghakan manusia. Allah SWT berfirman:

“Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.” (surah Al Lukman :6)


Bertitik-tolak dari itulah, satu garis panduan berkenaan hiburan disusun supaya kehalusan seni hiburan yang digariskan Islam itu dapat direalitikan. KESIMPULAN Industri hiburan dan nyanyian yang harus dalam Islam adalah sesuatu yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia, menghibur dan memberikan ketenangan kepada jiwa disamping mematuhi adab-adab Islam.

Dalam konteks Universiti Teknologi Malaysia dan dengan kontradiksi yang telah berlaku selama ini, apa yang boleh dirangka kini dalam kalangan mahasiswa Islam adalah satu garis panduan khusus mengikut acuan mahasiswa bagi sebarang penganjuran konsert dalam kampus UTM. Jadikan ini sebagai lampiran bagi kelulusan mana-mana program di peringkat pentadbiran HEMA dan juga Canselori. Ini bukan kali pertama konsert di adakan di bumi UTM tanpa merujuk kepada Unit Kebudayaan (istilah kasar 'buat kepala sendiri') tapi masih ada lagi pihak yang mengambil ringan soal Dasar Kebudayaan Universiti. Apa guna dasar ini digubal jika langsung tidak ada nilai di sisi 'orang dalam' universiti sendiri. Saya selalu mengistilahkan golongan seperti ini sebagai 'bodoh terpelajar'. Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (MPMUTM), Persatuan Mahasiswa Islam UTM (PMIUTM) atas tindakan awal dengan membantah penganjuran konsert tersebut dan mengadakan perjumpaan denggan pihak penganjur bagi membincangkan soal kebajikan rohani mahasiswa UTM. Walaupun tidak dapat membatalkan konsert tetapi berjaya mewujudkan rasa tidak senang dalam hati penganjur. Selepas ini, harapnya tiada lagi klise 'Kita sudah terikat kontrak,ada hitam putih dengan artis/band jemputan' bagi mengiyakan tindak-tanduk berupa pencabulan kerohanian mahasiswa kita di UTM. Harus diingat, mahasiswa dan kehidupan kampusnya khusus beragama Islam tidak sesekali mudah diperkudakan.

Dari perspektif lain, dalam masa yang sama, ini menuntut kesedaran yang tinggi dari pemuzik dan penggiat seni Muslim (ingatan: anggota The Times Islam semuanya) supaya membentuk industri hiburan tersendiri dan terpisah daripada pengaruh jahat Kuffar. Sebarang percubaan Kuffar untuk menghanyutkan umat Islam ke arah kemaksiatan, kemudharatan dan kefasikan mestilah dihalang beracukan penetapan dan susur galur Al Quran dan Sunnah Rasul SAW. Bagi semua pemuda/i tidak kira idealisme terutamanya dalam kampus UTM, pastikan Islam didahulukan. Ini soal maruah agama bukan hiburan semata-mata.



Mahasiswa UTM benci Hedonisme!

0 comments: