Misteri Gadis Terjun Dari KB Mall Terjawab

 

Gadis hilang kasih sayang

KOTA BHARU - Remaja perempuan yang cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga bangunan pasar raya KB Mall sambil bersenjatakan pisau mengalami masalah mental selepas dipercayai putus cinta dan kurang kasih sayang keluarga.

Sebelum itu, remaja yang berusia 19 tahun itu juga, bertindak sedemikian selepas dipercayai tidak ada kasih sayang daripada keluarganya yang tinggal di Johor.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, remaja terbabit dikatakan tinggal bersama neneknya sejak tiga bulan lalu dan dipercayai kedua-dua ibu bapanya juga mengalami masalah rumah tangga.

Beliau berkata, berikutan kedua ibu bapanya di Johor tidak memberi kasih sayang yang sempurna kepadanya, dia mengambil keputusan pulang ke Kota Bharu dan tinggal bersama neneknya di Lorong Purnama, Jalan Salor, dekat sini.

“Saya difahamkan, remaja terbabit mengalami tekanan perasaan lagi apabila dia berpisah dengan teman lelakinya dan ditambah pula krisis keluarganya,” katanya ketika ditemui di sini pada Majlis Perbarisan Sempena Peringatan Hari Polis ke 204 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

Azham berkata, remaja terbabit yang bekerja dekat Wakaf Che Yeh mengalami kecederaan di mulut dan dilaporkan stabil itu kini menerima rawatan lanjut di Wad Psikiatri, Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II Kota Bharu.

Beliau berkata, hasil siasatan polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan ketika cuba membunuh diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang kelmarin, remaja terbabit cuba diselamatkan oleh sepasukan anggota bomba dan polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat daripada orang ramai.

Sebelum kejadian, remaja terbabit dikatakan berlegar-legar di tingkat tiga bangunan pasar raya KB Mall sambil bersenjatakan sebilah pisau.

Sehubungan itu, Azham menasihatkan remaja lelaki dan perempuan supaya tidak mengambil tindakan yang boleh mendatangkan kemudaratan sehingga boleh membawa maut.

“Saya mengingatkan remaja supaya memberi fokus kepada masa depan yang berguna dan menjalankan kegiatan luaran lebih positif.

“Ibu bapa juga dinasihatkan untuk memberi perhatian kepada perkembangan anak-anak masing-masing kerana kurangnya kasih sayang boleh menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku seperti ini,” katanya. -SH

0 comments: