[Video] Reformasi Bersemarak Semula Selepas Polis Ceroboh Ceramah Anwar


Ceramah Anwar tukar ‘hodoh’, polis didakwa ganggu diserang

GOMBAK, 26 Mac — Majlis pelancaran “Datuk Najib Altantuya (DNA)” anjuran PKR di sini malam tadi berubah menjadi ‘hodoh’ apabila anggota polis cuba menghentikan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada meneruskan ucapannya, menyebabkan penyokong beliau marah lalu menyerang pasukan keselamatan.

Ketua Umum PKR itu, yang merupakan pemimpin terakhir berceramah malam tadi, telah menyampaikan ucapannya sekitar 13 minit ketika polis mula campur tangan sedangkan dikatakan telah diberi 15 minit untuk berucap.



Kira-kira 10 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) diletakkan untuk mengawal tempat majlis itu diadakan. Kebanyakan hadiirin, penyokong PR mula membaling kerusi dan botol air ke atas polis ketika cuba untuk menghalang Anwar daripada meneruskan ucapannya.

Anwar (gambar) sendiri telah berusaha untuk menenangkan hadirin tetapi suaranya tenggelam dalam kekecohan pada majlis dihadiri sekitar 800 orang.

Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin mengesahkan pihak polis menahan beberapa ahlinya. “Ada tahanan, anggota Angkatan Muda PKR ditahan di balai polis Taman Melawati,” kata Shamsul Iskandar kepada pemberita.

“Cara mereka (polis) bertindak, cuba untuk menahan beliau (Anwar) malam ini adalah sesuatu tidak wajar,” kata beliau.

“Kesabaran rakyat ada batasan,” kata beliau. Anwar tidak ditahan dan kemudian meninggalkan majlis tersebut.

Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu membuat serangan berhubung skandal pendedahan rakaman video seks oleh tiga “Datuk T” dengan mendakwa pentadbiran Najib berkonspirasi untuk mengakhiri kerjaya politiknya.

Tiga “Datuk T” iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim mengakui melakukan pendedahan tersebut Isnin lalu.

Ketiga-tiga memberikan keterangan kepada polis semalam dan kelmarin. “Abdul Rahim adalah penjenayah, perogol dan beliau dijadikan pemimpin... mereka merakamkan bahan lucah dan mereka bebas,” kata Anwar.

“Saya ditahan dan dilayan macam anjing tetapi anda membiarkan mereka bebas selepas kenyataan dirakamkan,” kata Anwar lagi, dipercayai merujuk kepada penahanan beliau pada September 1998 dan Julai 2008.

Sehubungan itu katanya, sokongan rakyat diperlukan untuk menolak Umno dan menyampaikan mereka “satu pengajaran.” “Mereka ingat kita ini bodoh, ajar pemimpin-pemimpin Umno dan BN... beritahu mereka itu bodoh dan tolol,” kata Anwar lagi.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda Selangor Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, pihaknya meluahkan rasa kecawa dan mengecam tindakan pihak polis yang mengganggu majlis pelancaran DNA di Taman Melawati malam tadi.

“Tindakan ini mengakibatkan kecederaan kepada rakyat yang hadir termasuk wartawan dan pimpinan Angkatan Muda Keadilan. Lebih malang adalah apabila pihak polis bertindak menyalahi undang-undang dengan mengganggu majlis aman ini yang diadakan di kawasan persendirian.

“Pihak polis jelas menunjukkan sikap tidak profesional apabila menyerbu masuk kawasan persendirian ini dan cuba mengheret Datuk Seri Anwar Ibrahim di saat-saat pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun menutup ceramah beliau,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan awal pagi.

Kata beliau, tindakan seperti ini membuktikan bahawa Umno-BN diketuai Datuk Seri Najib Razak takut kepada kebangkitan rakyat dan kebenaran akan terpancar menutupi fitnah yang cuba ditaburi dalam kes Saiful Bukhari dan video seks “Datuk T”.

“Di akhir kenyataan ini, AMK Selangor ingin menyeru agar pihak polis tidak perlu rasa takut dengan arahan dan tekanan pihak pemerintah Umno-BN. polis harus bertindak secara profesional dan berkhidmat kepada rakyat, bukan BN,” katanya lagi. -TMI


Ceramah Anwar diganggu FRU, tiga ditahan

Tiga anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) ditahan polis dan kekecohan berlaku semasa ceramah ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Gombak malam tadi.

Kira-kira 10 anggota polis bertindak menghalang ketua umum PKR itu daripada berucap lebih daripada 15 minit yang dibenarkan.

Anwar ketika itu sedang berucap di majlis pelancaran kempen DNA (Datuk Najib Altantuya) yang dihadiri kira-kira 1,500 orang, kebanyakannya penyokong PKR.
Hadirin tidak puashati dengan arahan supaya Anwar berhenti berucap, dan keadaan menjadi kecoh. Kerusi, botol air, bata dan kayu kelihatan dibaling ke arah anggota polis anti-rusuhan.

Pada satu ketika, apabila anggota polis menghampiri pentas, para penyokong mula berkumpul di situ dan enggan memberi laluan.

Anggota Unit simpanan persekutuan (FRU) kemudiannya terpaksa menggunakan perisai untuk menolak mereka yang menutup laluan.

Bagaimanapun, Anwar dan timbalannya Azmin Ali, yang juga ahli parlimen Gombak, dibawa beredar dari pentas, tetapi orang ramai yang kelihatan marah tetap berkumpul di situ.

Terpaksa berundur

Anggota polis akhirnya terpaksa berundur apabila hadirin menjadi agresif.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin berkata tiga orang yang ditahan ialah Maslan Abdul Raus dan Helmi Rizal manakala seorang lagi yang belum dikenali, dan masing-masing dibawa ke balai polis Hulu Kelang dan ibupejabat polis Ampang.

Anwar, yang menghadiri satu lagi majlis makan malam PKR di Kuala Selangor, tiba 30 minit sebelum kekecohan itu berlaku.

Para hadirin berdiri menyambut ketibaan beliau kerana mereka mahu mendengar penjelasannya ekoran pendedahan terbaru video seks yang dikaitan dengannya.

Pada ucapannya itu, Anwar mengingatkan perdana menteri dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor supaya tidak menggunakan taktik kotor tetapi lawan secara bermaruah di gelanggang pilihan raya.

"Dia guna media, kecam kita dari pagi sampai petang sampai malam, Kita nak jawab, tak boleh, konon tidak ada permit. Saya tak salahkan OCPD, dia ikut arahan saja.

“Saya salahkan Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak dan isteri dia Rosmah Mansor yang takut berdepan dengan kita," kata Anwar.

Tunggu pilihan raya

"Saya mahu beritahu Najib supaya tunggu pilihan raya nanti. Jangan takbur," tambah Anwar kepada laungan takbir dan reformasi oleh penyokong Pakatan.

Anwar berkata pihak polis dan Najib malah seluruh rakyat tahu siapa Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, pengerusi Risda dan bekas Ketua Menteri Melaka yang mengaku mendalangi penayangan video lucah fitnah untuk mengaibkannya di Hotel Seri Carcosa Isnin lalu.

Rahim terpalit dengan tuduhan merogol seorang pelajar sekolah dan dakwaan terbabit dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebelum meletak jawatan sebagai ketua menteri Melaka pada tahun 1994.

"Sekarang ini video seks pula. Saya nak tanya, polis tak tahu ke siapa Rahim Thamby Chik? Tak tahu ke kes dia dulu di Melaka? Orang ini nak jadi dewa, saya pulak kena jadi penjenayah," katanya.

"Saya salahkan Najib dan Rosmah kerana tidak berhadapan dengan saya. Orang rasuah dan penjenayah diangkat. Kita mahu sistem yang demokratik. Mereka mahu alih pandangan kita.

“Kita bukan bodoh. Sebab apa dia (Datuk T) tidak tangkap, sebab dia pencacai Umno," kata Anwar dengan marah.

Ketua pembangkang itu bagaimanapun terpaksa meringkaskan ucapannya itu kerana campurtangan polis untuk menyuraikan majlis ceramah berkenaan.

Namun beliau sempat memberi peringatan kepada Najib supaya bertaubat dan menghentikan penggunaan amalan keji untuk mencari kelebihan politik.

"Apa jenis pemimpin ini. Saya hendak tanya Rosmah, tanya Najib, kamu ada anak, kamu ada bini, kamu ada keluarga, boleh orang aibkan keluarga kamu begitu rupa. Manusia jenis apa macam ini?" tanya Anwar dengan nada kesal. -mk








0 comments: