What ways are families good for society?

Keluarga merupakan satu institusi sosial yang wujud hasil dari perhubungan biologi antara lelaki dengan perempuan yang disahkan oleh masyarakat. Ibu dan bapa adalah gandingan asas dalam keluarga yang merupakan tunggak utama dalam mencetus kejayaan anak dan kesinambungan dalam masyarakat. Mereka mempunyai peranan penting dalam perkembangan serta pembentukan sesebuah masyarakat dengan sikap anak-anak dengan didikan akademik, rohani dan mentarbiah anak tentang ilmu kehidupan untuk melahirkan generasi muda yang mempunyai keperibadian unggul. Anak-anak diibaratkan seperti kain putih yang bersih di mana ibu bapalah yang akan mencorakkannya sama ada menjadi insan berakhlak mulia atau sebaliknya.


Keluarga merupakan institusi yang memainkan peranan penting kepada pembangunan sesebuah masyarakat. Keutuhan sesebuah masyarakat bergantung kepada sejauh mana sistem sesebuah keluarga itu dibentuk, jika baik sesebuah keluarga itu maka akan baik sesebuah masyarakat tersebut begitulah juga sebaliknya. Kebahagiaan hakiki dan sejati didapati dalam kehidupan bersama yang diikat oleh pegangan agama. Kehidupan kekeluargaan yang mengamalkan cara hidup Al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang bermula dari sekecil-kecil perkara hinggalah yang sebesar-besarnya. Penerapan nilai-nilai agama berlaku bermula dari suami, isteri seterusnya kepada anak-anak. Bapa selaku ketua keluarga merupakan pengemudi bahtera bertanggungjawab sepenuhnya ke atas rumahtangga haruslah memahami semua aspek kehidupan dan mengamalkan ajaran agamanya di samping bantuan isterinya. Jika ibu bapa tidak mengetahui ajaran agama Islam dan tidak pula mengamalkannya maka ada harapan mereka tidak akan dapat membina fikrah agama di dalam diri anak-anak mereka. Oleh sebab itu ibubapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu sebelum menempuh alam rumahtangga.

Perkahwinan merupakan proses awal ke arah pembentukan sebuah keluarga. Ia bertujuan untuk menyusun pergaulan antara lelaki dan perempuan supaya pasangan itu dapat mewujudkan suasana kasih sayang dan memperindahkan kehidupan yang akhirnya dapat melahirkan sebuah keluarga yang aman, bahagia dan harmoni. Pada peringkat permulaan keluarga inilah yang perlu dititikberatkankerana untuk mendapatkan zuriat anak yang soleh / solehah perlulah mempunyai keturunan yang baik dan melalui asas yang baik.

“Jika ayam jantan dan ayam betina membiak, maka anak ayamlah akan ditetaskan, jika kambing jantan dan kambing betina membiak, maka anak kambinglah akan lahir” itulah realiti kehidupan. Kesimpulannya, pemilihan calon pasangan itu akan mengambarkan warisan dan perwatakan anak yang bakal dilahirkan, oleh itu pemilihan calon pasangan cukup besar maknanya kepada setiap pasangan sebelum pernikahan dan pembentukan sebuah keluarga bahagia. 

Diantara pendekatan yang perlu diambil ialah Pendidikan Iman di Peringkat Awal Kanak-Kanak.“Melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Begitulah pepatah Melayu yang sinonim dengan anak dan didikan awalnya. Pada peringkat usia inilah ibu bapa harus menekan pendidikan iman kepada kanak-kanak dengan mengenalkan hukum-hukum halal dan haram. Setelah timbul rasa pekanya, ibu bapa hendaklah menghantar anak-anak mereka kesekolah untuk mengasah kecerdasan otak dan mengisi hatinyadengan keimanan agar anak tersebut menjadi hamba Allah yang patuh.

Seterusnya Penerapan Nilai Kasih Sayang Dalam Kekeluargaan. Jelaslah melalui ini seseorang anak perlu diberikan kasih sayang secukupnya. Apabila seseorang ayah atau ibu berjanji kapada anak mestilah ditepati dan jangan mengingkari atau menipu mereka. Persekitaran dan asuhan dalam sesebuah keluarga yang harmoni serta penuh dengan kasih sayang pentingdalam perkembangan persekitaran anak-anak dalam menjalani kehidupannya. Anak akan melihat dan menjadikan contoh dan membalas kasih sayang itu kepada ibu bapanya. Kasih sayang datangnya daripada perasaan yang lahir daripada jiwa suci dan murni, bukannya daripada pemberian wang ringgit atau yang berbentuk kebendaan. Hari ini, keruntuhan institusi keluarga amat ketara menyebabkan ramai ahli masyarakat yang tidak lagi percaya kepada institusi itu. Ikatan antara ayah dan ibu semakin longgar. Tiada lagi kasih sayang wujud dalam keluargamanakala pengaruh barat sudah menular dalam masyarakat kita.

Seluruh ahli keluarga hendaklah semula mejadikan rumah mereka sebagai asas menjalinkan kasih sayang dan keharmonian untuk memperbaiki kehidupan keluarga yang semakin renggang. Kasih sayang yang terjalin di antara keluarga mampu melahirkan sikap jujur dan terbuka. Kekuatan cinta yang tulus mampu menggerakkan lisan untuk sentiasa berterima kasih kepada pasangan, anak ataupun ibu bapanya. Mencintai keluarga adalah amanah bagi setiap manusia.Pecinta keluarga tidak akan membiarkan dalam rumahnya berlaku keburukan dan kemaksiatan. 

Kesimpulannya , jika keluarga utuh dan mengamalkan kasih sayangdi antara ahlinya sudah pasti melahirkan masyarakat penyayang. “ Keluarga bahagia tunjang kemakmuran Negara ”. Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian unggul generasi muda dan sudah terang lagi bersuluh bahawa jati diri anak-anak ini dapat dibentuk melalui institusi keluarga khususnya ibu bapa yang memainkan peranan penting. Anak-anak tentunya dapat mengimplimentasikan nilai-nilai murni dan sikap positif dalam kehidupan seharian seterusnya membentuk sanubari yang baik sekiranya dipupuk dari kecil. Keluarga merupakan tempat luahan isi hati dan penyimpan rahsia yang paling dipercayai anak-anak.Ibu bapa merupakan uswah hasanah kepada anak-anak di rumah mestilah sentiasa bersikap penyanyang, berbudi pekerti mulia dan jangan sesekali dijadikan seperti “ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan diri sendiri berjalan mengiring”.

Justeru itu, ibu bapa sewajarnya menginduktrinasikan pucuk-pucuk hijau ini bagai menatang minyak yang penuh kerana anak-anak remaja kini sering melibatkan diri dalam aktiviti sosial dan budaya barat yang begitu cepat merebak bagai virus epidemik. Melalui nasihat dan ajaran yang baik, sudah tentu anak-anak tahu membezakan antara intan dan kaca. Institusi keluarga sememangnya merupakan salah satu langkah yang signifikan dalam membentuk keperibadian anak-anak. Sikap-sikap yang positif haruslah disemai dalam jiwa anak-anak untuk menjamin kesejahteraan hidup dan pembentukan keperibadian mulia mereka. Anak-anak yang ibarat berusia setahun jagung, berdarah setampuk pinang ini mesti diberi penekanan dari segi mental dan fizikal supaya kelak dapat menjadi tunggak negara. 

0 comments: