Bagaimana menggerakkan daya perubahan dalaman anda?

Manusia ialah makhluk ciptaan Allah SWT yang dikurniakan dengan akal fikiran ditugaskan sebagai khalifah dan hamba kepada Allah SWT di muka bumi ini. Semua manusia yang dilahirkan dengan izin Allah SWT adalah bermula dengan kejahilan tentang tujuan hidup di dunia ini.

Dalam mencari keberkatan dari Allah SWT supaya kehidupan kita seimbang dan harmoni, terdapat beberapa daya perubahan untuk kita mencapai keredhaan dari Allah SWT di dunia dan akhirat.

Daya perubahan yang pertama ialah sentiasa mengamalkan amalan membaca Al-Quran. Ini kerana Al-Quran dapat memberi petunjuk kepada hamba-Nya untuk mencapai keredhaan dan keselamatan disamping Allah SWT akan mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan kepada cahaya keimanan. Amalan ini akan dapat menggerakkan daya perubahan sebagai khalifah yang bermula dengan kejahilan supaya mengikut ajaran islam yang betul dan seterusnya mengabdikan diri kepada Allah SWT. Daya perubahan dalaman diri seseorang akan berubah kerana Al-Quran akan menerangi kegelapan jiwa orang yang membacanya, petunjuk kepada jalan yang lurus dan akan mendapat kerahmatan dari Allah SWT.



Solat juga memainkan peranan yang penting kerana sebagai hamba, kita perlulah sentiasa mengingati Allah SWT dan meninggalkan larangan serta mengerjakan suruhannya. Solat juga dapat mententeramkan hati seseorang dalam pengabadian diri kepada Allah SWT. Apabila kita sering melakukan solat, ia akan mencegah kita dari melakukan perkara keji dan mungkar, maka secara tidak lansung akan mengerakkan daya dalaman diri untuk terus mendapatkan kerahmatan dari Allah SWT.

Pemakanan makanan yang halal juga adalah satu faktor yang penting dalam menggerakkan daya perubahan dalam diri seseorang. Allah SWT telah berfirman supaya hambanya makan dari sumber yang halal kerana Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas iaitu makan dari sumber tidak halal. Darah daging dari sumber halal akan memudahkan orang islam menerima syafaat oleh Allah SWT.
Mengikuti sunnah Rasullulah dan Al-Quran adalah penting seperti berzikir kerana amalan ini dapat menepis pelbagai kejahatan sehingga kita tidak terjebak dengan sifat materialism dan hedonism. Dengan mengikuti sunnah ini, jiwa kerohanian manusia akan tergerak untuk melakukan perubahan dengan mengamalkan amalan dari sunnah nabi dan Al-Quran dalam mencari keredhaan Allah SWT. 

Di samping itu, sebagai hamba Allah SWT, kita perlulah sentiasa muhasabah diri untuk menilai dan merenung perkara yang lepas, semasa dan akan datang. Dengan muhasabah diri ini, hati kita akan bersih dan seterusnya mengislahkan diri dalam pembentukan akhlak kehidupan seharian kita. Dengan mengingati kesilapan yang lalu, hati kita akan tergerak untuk melakukan perubahan agar segala perbuatan dan amalan yang dikerjakan akan diterima oleh Allah SWT.

Cara yang terakhir menggerakkan perubahan dalaman diri kita ialah sentiasa mendampingi serta berkawan dengan ulama dan orang beriman. Dengan cara ini secara tidak lansung, kita akan mencontohi perilaku mereka yang selalu mengamalkan ajaran islam dalam kehidupan mereka. Sedikit demi sedikit daya penghalang dan perilaku buruk yang kita ada akan terhakis apabila melihat amalan dan cara hidup mereka. 

Dalam jiwa dalaman kita terdapat daya penggerak dan daya penghalang dari melakukan perintah Allah SWT. Dengan mengamalkan segala amalan yang dinyatakan di atas, daya perubahan dalam diri iaitu dari segi rohani, jasmani dan intelektual dapat digerakkan ke arah yang lebih baik lagi untuk mendapatkan kerahmatan dari Allah SWT. Daya penghalang adalah satu sifat yang tidak percayakan ketuhanan Allah SWT. Jika daya penghalang ini lebih menguasai diri seseorang daripada daya penggerak, nascaya diri orang itu adalah tergolong dalam golongan orang yang rugi.

1 ulasan: